Monday, April 21, 2008

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Tuhan sekalian alam,Tuhan yang mencipta langit, bumi dan tempat, Dialah yang mencipta tempat wujudNya tanpa memerlukan tempat. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga dan sahabat baginda.

Dewasa kini seringkali kita mendengar banyak golongan yang melabelkan diri mereka sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah akan tetapi dengan hanya mengaku tanpa hujah yang kukuh memang tidak memadai kerana hujah itu sepatutnya mesti ada pada mereka yang mendakwa,inikan pula yang mahu mengaku sebagai Firqah Najiyyien ( puak yang berjaya) suda pasti perlu merujuk kepada nas-nas Al-Quran dan Hadith, jumhur ulama serta dalil sejarah yang kukuh.

Bagi menjaga agama daripada diruntuhkan oleh musuh-musuh Islam yang sekadar mengaku islam maka saya mengajak sama-samalah kita menyingkap rahsia sebenar siapakah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenar.

Takrif Ahlus Sunnah Wal Jama’ah

Ahlus Sunnah beerti: Orang-orang yang mengikut al-Quran dan sunnah Rasulullah saw dalam hal bersangkutan dengan akidah tanpa menyifatkan kepada Allah sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah dan RasulNya serta tidak sama sekali menyimpang kedua-duanya.

Manakala Wal Jama’ah ianya berkait rapat dengan makna sunnah yang boleh ditakrifkan : Orang-orang yang bersama jemaah berada diatas landasan sunnah nubuwwah (akidah nabi, sahabat dan seluruh umat islam)

Manakala Jama’ah pula dipetik dari hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dalam Sunannya bahawa Rasulullah saw pernah bersabda :

“Dan sesungguhnya agama ini akan berpecah kepada 73, 72 daripadanya ke neraka dan satu sahaja ke syurga iaitu Jama’ah”.

Hadith ini memberi erti bahawa umat Nabi Muhammad akan berpecah kepada pecahan yang begitu banyak dan bukanlah bilangannya hanya 73 puak kesemuanya akan tetapi mungkin lebih sepertimana yang telah diterangkan oleh Imam Al-Baghdady dalam kitab beliau Al-Farq Bainal Firaq. Perlu diketahui makna umat nabi yang terpecah tadi adalah ummatud dakwah umat yang telah sampai kepada mereka akan dakwah islam dan satu sahaja dari mereka yang terselamat dari api neraka lalu akan ke syurga iaitu jemaah yang mengikut pegangan dan akidah para Nabi, sahabat dan seluruh umat islam.

Maka sesiapa yang mengikut Ahlus Sunnah Wal Jama’ah bermaksud : mereka yang mengikut landasan Al-Quran, Al-Hadith, Ijmak, Qias atau hukum akal yang menjadi saksi kebenaran Islam dalam bersangkutan dengan asas akidah dan keimanan.

Kebenaran Asya’irah Melalui Firman Allah dan Keterangan Ulama

Allah Taala berfirman yang bermaksud :

“ Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang murtad dari agamanya (Islam) maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang mana Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah, yang bersikap lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.Itulah kurniaan Allah diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas PemberianNya lagi Maha Mengetahui”.

( Al-Maidah:54)

Setelah diturunkan ayat ini, Rasulullah saw menunjuk kepada Abu Musa Al-Asy’ari dengan bersabda yang bermaksud:” Mereka adalah kaum ini dan Rasulullah saw menepuk bahu Abu Musa Al-Asy’ari”.

Jika kita mengkaji pada hadis di atas jelas bahawa Rasulullah saw memuji Abu Musa Al-Sya’ari yang mana telah lahir daripada keturunannya Imam Abu Hassan Ali bin Ismail Al-Asy’ari wafat tahun 333H pendukung Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama’ah bersama-sama dengan Abu Mansur Muhammad Bin Muhammad Bin Mahmud Al-Maturidi As- samarqondi wafat pada tahun 332H sebagaimana yang telah dipersetujui oleh para ulamak. Bila kita merujuk pegangan seluruh ulama yang sezaman dengan Imam Abu Hasan Al-Sya’ari atau selepasnya semuanya berpegang dengan manhaj Asya’irah dalam ilmu akidah atau sealiran dengan manhaj beliau. Dan ketahuilah bahawa Imam Asy’ari tidak membawa pandangan yang baru berselisihan dengan akidah Nabi Muhammad dan sahabat baginda, ini telah ditekankan oleh Imam al-Hafiz As-subky dalam kitab Tobaqotnya yang bermaksud :” Ketahuilah bahawa Imam Abu Hassan Al-Asy’ari tidak mendatangkan pandangan baru ( yang bercanggah dengan Islam) dan tidak pula beliau membuat mazhab yang baru (yang bercangga dengan islam) akan tetapi belliau datang mempersetujui mazhab salaf (bukan wahabi) yang selari dengan para akidah sahabat Rasulullah saw, maka menyandarkan nama kepada beliau ( iaitu dengan menamakan Asy’ary) adalah kerana beliau telah mendatangkan penyusunan hujah yang cukup hebat bagi mempertahankan akidah yang sebenar”.

Sheikh ‘Izzuddin bin Abdus Salam berkata dalam kitab beliau :”Dan akidah Asy’ary rahimahullah merangkupi apa yang ditunjukkan keatas nama-nama Allah 99”.

Berkata pula ketua para qadhi Tajuddin As-Subky :” Dan mereka golongan Hanafiyyah, As-Syafiyyah, Al-Malikiyyah dan ulama tersohor dari Hanabilah mereka kesemuanya dalam akidah merupakan seolah-olah satu genggaman dengan pandangan Ahlus Sunnah Wal Jama’ah cara yang terpilih oelh As-Asheikh Sunnah Imam Abu Hassan Al-Asy’ary. Kata beliau lagi :” Dan secara umumnya akidah Asy’ary ini merupakan juga apa yang telah disampaikan oleh Imam abu Mansur Al-Maturidi iaitu As-Sheikh Muhammad Amin yang terkenal dengan Ibnu ‘Abidin di dalam kitab beliau yang berjudul Rod Al-Muhtar ‘Ala Ad-Duraril Mukhtar berkata yang bermaksud:”Ahlus Sunnah Wal Jama’ah mereka adalah Asya’iarh (pengikut Abu Hassan Al-Asy’ary dan Al-Maturidiyyah (pengikut Abu Mansur al-Maturidi)

Diantara akidah Asya’irah adalah:

  • Mereka beriktikad bahawa Allah itu Maha Esa,tiada sesuatupun yang menyerupaiNya, wujudNya tanpa memerlukan yang lain.Dia tidak memerlukan tempat, arasy, langit untuk Dia berada disana bahkan wujudnya Ia adalah tanpa memerlukan tempat kerana tempat itu adalah makhluk sedangkan Dia Maha Kaya dari mengharapkan kepada makhlukNya, wujudNya azali dan abadi, tidak fana sama sekali. Dia tidak memerlukan jihah penjuru sama ada penjuru atas, bawah,depan, belakang,kanan atau kiri.Dia yang tidak duduk atau bersemayam diatas arasyNya dan tidak harus menyatakan bahawa Dia bersemayam atau duduk diatas arasy bahkan ini dikira sebagai kalimat kufur yang menyebabkan terbatalnya iman seseorang . Ketahuilah bahawa diantara akidah para Nabi, sahabat dan seluruh umat islam dalam hal kewujudan Allah ini adalah Allah Wujud Tanpa Bertempat. Dalil dari Al-Quran bahawa Allah Wujud Tanpa Memerlukan Tempat:

“ Tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya”

(surah As-Syura :11)

Ini bermaksud bahawa jika dikatakan Allah itu bertempat maka Dia serupalah dengan makhlukNya sedangkan ini adalah mustahil sama sekali dan bertentangan dengan nas ayat serta akal yang sempurna maka Dia tidak bertempat.

Dalil yang menunjukkan bahawa Allah Wujud Tanpa Bertempat.sabda Rasulullah saw:yang bermaksud:”Allah telah sedia ada(azali) dan tiada sesuatu pun yang lain itu azali”.(Riwayat Bukhari.Ini bermaksud bahawa jika Dia sahaja yang wujud nya azali maka tempat,arasy, langit dan selainnya adalah wujud sebelum tempat maka Dia ada Tanpa memerlukan Tempat.

Dalil dari Ijmak para Ulama bahawa Allah wujud tanpa Memerlukan Tempat:. Ramai dikalangan para ulama yang menukilkan ijmak bahawa Allah tidak bertempat dan tidak memerlukan arasy,langit dan sebagainya. Diantara ulama yang menukilkan ijmak dalam permasalahan ini adalah As-Sheikh Abdul Al-Qohir Bin Tohir Al-baghdady didalam kitab beliau Al-Farqu Bainal Firaq m/s 333 cetakan Darul Ma’rifah, Beirut yang bermaksud :” Dan telah diijmakkan bahawa Allah tidak bertempat”.

Para Ulama Hadith Berpegang Dengan Manhaj Asya’irah

Cukuplah keterangan mengenai kebenaran dan kehebatan Imam As-Sya’ary bahawa seluruh para ulamak Islam dan jutaan muslimin di Timur dan Barat berpegang dengan manhaj beliau di dalam hal yang bersangkutan dengan akidah. Dan banyak bukti membenarkan fakta ini. Dengan pegangan para Hufaz yang juga berpegang dngan sistem beliau dalam aqidah seperti Al-Hafiz Abu bakar Al-isma’iili penulis AlMuhaddtih terkemuka yang disifatkan oleh ulamak bahawa beiau adalah sehebat-hebat muhaddtih di Syam iaitu Al-hafiz Al-Imam Asy-Syeikh Fakhruddin Ibnu ‘Asaakir. Dan datang selepas mereka pula seorang tokoh ilmu hadith yang tersohor ke saat in sehingga dilaqobkan sebagai Amiirul Mukminin dalam ilmu hadith itu iiatu Syeikhul islam al-Hafiz Al-Imam abul fadhil Ahmad bin Ali bin Hajar Al-asqolan, semua mereka berpegang dngan system Asya’irah dalam hal aqidah.Ini membuktikan bahawa fakta palsu atau lebih tepat pembohongan yang menyatakan bahawa ahli-ahli hadith berpegang dengan manhaj golongan musyabbihah yang meng’ithbatkan sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah secara hakiki perlu dihindari.

Senarai Ulamak Yang Berpegang Dengan Sisitem Asya’irah

Barangsiapa yang mengkaji mengenai manhaj Asya’irah pasti akan mengetahui bahawa Asya’irah penjaga kesahihan ilmu dan hadith. Sudah memadai para ulamak terkemuka mereka berpegang dengan Manhaj Asya’irah dala aqidah diantaranya seperti ; Imam Abu hassan Al-baahili, abu ishaq al-Isfaroyiini, Al-hafiz Abu Nu’aim Al-asbahani, qodhi abdul wahab al-maliki yang berpegang dengan mazhab Maliki, As-Syeikh abu Muhammad Al-Juwaini serta anaknya Abu al-Maali kedua-duanya adalah Imam Haramain, Abu Mansur At-Tamimi Al-Baghdady, Al-Hafiz Ad-Darul Qutni, Al-Hafiz Al-Khatib al-Baghdadi, Al Ustaz Al qosim al-Qusyairi serta anaknya Abu Nasr, Asy-Syeikh Abu Ishaq Asy-Syirozi,Nasru Al-Maqdisi, Al-farowi, Abu al-wafa’ bin ‘Aqil al-Hambali yang berpegang dengan mazhab Hanbali, Qodhi Ad-Damaghoni Al-Hanafiyang berpegang dengan mazhab Hanafi, abu al-walid Al-baaji Al-Maliki yang berpegang dengan Mazhab Maliki, Al-Imam As-sayid Ahmad Ar-Rafi’e, al-Hafiz Abu Qosim Ibnu ‘Asakir, Ibnu as-Sam’ani, Al-Hafiz As-salafi, al-Qodhi ‘yad, Imam An Nawai, Imam Fakhruddin ar-Rozi, ‘Izzuddin bin Abdussalam, Abu Amru bin Al-Hajib Al-Maliki, Imam Ibnu daqiq Al-‘Iydi, Imam Taqiyuddin As-Subky, al-Hafiz Al-‘Alai, Al-Hafiz Zainuddin Al-Iraqy serta anaknya Al_ hafiz Waliyuddin.

Imam bahasa yang terkenal Al-Hafiz Murtadho Azzabidi, Imam As-syeikh Zakaria Al-Ansori, As-Syeikh Bahauddin Arrawasi assufi, Mufti Mekah Ahmad bin Zaini Dahlan, Mufti Mesir As-Syeikh Muhammad ‘illaish al-maliki, sheikh Jamik al-azhar Abdullh As-Syarqowi, seorang ulama sanad hadith yang terkenl As-Syeikh Abu Al Mahasin Al-Qowuji, syeikh Sirojiddin al-indunisy dan al-faqih Al-Muhaddith al-Usuly Maulana Syeikhhul Islam Abu Abdurrahman Abdullah Al-Harary. Ini hanyalah sebahagian sahaja yang dapat dinyatakan tapi hakikat bilangan mereka tidak tekira banyaknya.

Pembukaan Konstantinopel Menampilkan Kebenaran Asya’irah

Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud “ Akan dibuka konstantinopel itu yang mana sehebat-hebat pemimpin ketika itu adalah pemimpinnya dan sehebat-hebat tentera adalah tenteranya”. Riwayat Imam Ahmad.

Sejarah telah menyatakan bahawa diantara pemimpin terkenal adalah Muhammad Al-uthamny yang telah membuka Bandar Konstantinopel yang merupakan satu kebanggaan yang besar serta agung terhadap umat Islam dan Imam Muhammad fatih ini terkenal berpegang dengan aqidah Asya’irah.

Apa yang dinyatakan disini hanya secebis hujah sahaja yang memberi pengertian bahawa pegangan Alus Sunnah Wal-Jama’ah sekarang adalah apa yang berlandaskan sistem aqidah Asya’irah dan Al-Matiridiyyah yang dipetik dari aqidah junjungan besar kita Nabi Muhammad saw, keluarga dan par sahabat baginda. Wallahualam.

Petikan kertas kerja 1 Ahlus- Sunnah Wal Jama’ah oleh Ustaz Ahmad Hafiz b Mohd Alwi Baitul Iman, Dungun, Terengganu.